KUANTAN: Sebanyak RM580 juta sudah disalurkan kepada majikan di negeri ini menerusi Program Subsidi Upah (PSU) yang dikendalikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak April tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan I, Mohd Shahar Abdullah, berkata porgarm berkenaan membantu mengurangkan beban pengurusan ditanggung kira-kira 13,000 majikan yang terkesan akibat Covid-19 dan pada masa sama, memberi manfaat kepada 95,000 pekerja.
“Kementerian Kewangan menerusi Perkeso sudah mengagihkan RM19.59 bilion kepada majikan di seluruh negara melalui PSU termasuk di Pahang sebagai usaha yang sudah dan sedang berjalan bagi membantu golongan pekerja dan majikan.
“Kita juga memperkenalkan pelbagai lagi inisiatif antaranya Geran Khas Prihatin (GKP) dan Danajamin Prihatin Guarantee Scheme (DPSG) melalui pakej rangsangan ekonomi bagi menyokong sektor perniagaan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs Keluarga Malaysia di sini, hari ini.
Sebanyak 5,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam karnival anjuran bersama Perkeso dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang disertai 28 majikan dari seluruh Pahang itu.
Hadir sama, Ketua Pengarah Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengurus Besar ECERDC, Datuk Mohd Mazlan Sharudin.
Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion melalui Bajet 2022 yang dibentangkan Oktober lalu bagi menyediakan latihan untuk memastikan isu skop kerja ditawarkan tidak menepati kemahiran dimiliki pekerja atau pencari kerja dapat diatasi.
“Adalah penting untuk ditawarkan latihan kepada pencari kerja kerana memang berlaku masalah ‘mismatch’ (tidak padan) antara pekerjaan ditawarkan dan kemahiran dimiliki (pencari kerja), jadi perkara ini (latihan) akan disediakan oleh pihak Human Resources Development Corporation (HRD Corp) atau pihak yang diiktiraf kerajaan.
“Peruntukan besar bagi memberikan latihan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 22,000 pekerja atau pencari kerja sebaik sahaja ia dimulakan,” jelasnya. – HUSIN IBRAHIM