Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Perkhidmatan awam terutama anggota barisan hadapan sentiasa memberikan komitmen penuh dalam memastikan penyampaian kerajaan tidak terjejas berteraskan dasar semasa kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata urusan pentadbiran seharian akan terus diterajui oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan Persekutuan seperti biasa.
Katanya, anggota keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula sentiasa dalam keadaan siap siaga bagi menjaga keamanan dan ketenteraman awam.
“Segala usaha, bantuan dan inisiatif membabitkan peruntukan yang besar tidak akan terjejas demi kemaslahatan dan kesejahteraan rakyat, terutama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang menjadi senjata ampuh dalam melawan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, anggota penjawat awam akan terus menggalas amanah seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan berpegang teguh kepada ikrar Perkhidmatan Awam.
“Perkhidmatan Awam komited mendukung konsep ‘neutrality’ dan ‘government of the day’ berlandaskan ‘rule of law’.
“Jentera kerajaan sentiasa sedaya upaya melaksanakan semua dasar yang diputuskan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat terutama dalam tempoh yang sangat mencabar ini,” katanya.