Perkongsian pakar mula dapat sambutan positif netizen

Perkongsian pakar mula dapat sambutan positif netizen

KUANTAN: Perkongsian dapatan tinjauan lapangan oleh pakar geobencana, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo mengenai banjir lumpur bersama kayu hanyut yang melanda sekitar Bentong di beberapa kumpulan Facebook (FB) bersifat ilmiah baru-baru ini, mendapat banyak maklum balas positif daripada pengikut kumpulan terbabit.

Dapatan itu mendedahkan, ribuan gelinciran tanah dan aliran puing dikesan menjadi punca utama bencana banjir puing membadai kawasan lembah tanah tinggi di Lembangan Sungai Bentung, Pahang dan Sungai Langat, Selangor, baru-baru ini.

Untuk rekod, Ibrahim yang kini berjawatan Ketua Klustar, Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia (APM) dan Felo Utama, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata hasil tinjauan udara lebih dua jam di sepanjang lembangan Sungai Benus, Sungai Pertak, Sungai Timbul, Sungai Kerau, Sungai Telemong dan Sungai Bentong, beliau mengesan gelinciran tanah dan aliran puing bersaiz sederhana hingga besar secara meluas.

https://www.facebook.com/groups/854661231714821/permalink/1270711193443154/

Menerusi perkongsian dapatan berkenaan di kumpulan FB ‘Environment and Sustainability’, ramai yang memuji usaha dilakukan bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu.

Perkongsian yang dimuat naik kelmarin itu dikongsi sebanyak 987 kali dengan 835 memberikan reaksi suka.

Muhammad Nordin memberikan komen: “Alhamdulillah, terima kasih Prof Dato IBK atas pencerahan ilmu yang cukup ilmiah”.

Pengguna dengan nama profil Hayati Malek pula berkata: “Terima kasih tuan atas keprihatinan. Sebenarnya saya menunggu kenyataan sebegini, tidak hanya menunding jari sahaja. Jika rakyat faham dan tahu apa yang perlu dilakukan, saya percaya agensi kerajaan yang berintegriti mudah melakukan kerja mereka dengan adanya support (sokongan) dari suara rakyat’.

Malah, terdapat beberapa ahli kumpulan terbabit didapati turut memberikan penjelasan dan fakta kepada komen segelintir warga maya yang curiga dengan dapatan berkenaan.

Seorang pengguna FB memberi komen sinis: “Okaylah sebab berlaku gilinciran konon hujan. Ya hujan, tapi kalau pokok tak ditebang peratus kejadian gilinciran tanah adalah sangat sedikit. Itu je nak habaq”.

Menjawab komen itu, Norhayati Ahmad berkata: “Gelinciran tanah berhutan yang tiada pembalakan boleh berlaku di gunung dan bukit.

Seorang lagi pengguna berkata: “Ramai yg x (tidak) nampak, kebanyakan hutan tu adalah hutan sekunder, hutan yang telah dibalak.”

Norhayati berkata: “Banyak jenis gelinciran berlaku di banyak tempat seperti ‘slope failure’ tepi jalan (road cut), di hutan sekunder dan mcm2 lagi, tapi yg berlaku di cerun gunung ialah punca penyebab utama berkuasa tinggi memusnah.

“Bukan setakat pokok sahaja yang runtuh tapi batuan dasar pun ada yg terkopek sekali menghasilkan bongkah-bongkah sebagai bahan puing, sedangkan bongkah-bongkah ni kalau berlaga antara satu sama lain dalam aliran puing boleh patah-mematah, apatah lagi pokok-pokok berdahan berdaun, memang tinggal akar dgn batang yg licin lah”.

Perkongsian pengguna dengan nama profil Pendekar Rimba di kumpulan FB COMBAT SURVIVAL MALAYSIA dengan keterangan ‘Info berguna bagi survalist (merujuk kepada ahli kumpulan berkenaan)’ pula dikongsi sebanyak 32 kali dengan reaksi suka dengan jumlah sebanyak 222. – HELMY ABD RAHMAN