Permaisuri Agong memasak untuk mangsa banjir

Permaisuri Agong memasak untuk mangsa banjir

KUANTAN: KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tidak betah duduk diam apabila mendengar musibah melanda rakyat jelata.

Meskipun dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19, baginda mencemar duli dan berkenan turun padang bagi menyediakan makanan buat mangsa banjir di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuantan. 

Baginda memilih untuk memasak sendiri di ruang memasak khas KYP Advanced Skills Kubang Buaya, di Kuantan, Pahang. 

Antara masakan yang disediakan adalah nasi putih, nasi lemak ikan bilis, sambal belacan, istana, kari telur, ayam masak kicap, sayur lodeh, sayur kobis, sardin, ikan bilis potato, sayur kacang panjang, ayam goreng berempah dan sayur jawa.

Baginda turut dibantu pelajar dan anggota tentera dalam misi menyediakan makanan untuk mangsa banjir dan semua bahan asas masakan dibawa dari dapur istana. 

Kesemua seribu pek makanan itu kemudiannya diagihkan kepada mangsa banjir di PPS Wisma Belia di Indera Mahkota di samping Sekolah Kebangsaan Bukit Setongkol dan Bukit Rangin. – HUSIN IBRAHIM