Permintaan songkok raya merosot terkena tempias PKP

Permintaan songkok raya merosot terkena tempias PKP

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad

PEKAN: Episod suram kini terpaksa dilalui seorang usahawan songkok tradisional apabila produk yang diusahakan sejak 27 tahun lalu kini kurang mendapat permintaan walaupun Aidilfitri tinggal beberapa hari sahaja lagi.
Menurut Mohd Nasrum Hassan, 50, pada fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, dia tidak berpeluang berniaga termasuk menghasilkan songkok yang ditempah oleh pelanggan kerana premisnya di Bazar Muhibah, bandar Pekan, tidak dibenarkan beroperasi.
Katanya, selepas perniagaan dibenarkan sehingga sekarang sambutan terhadap songkok amat berkurangan terutama menjelang hari raya.
Menurutnya, sebelum ini setiap kali Ramadan dia mampu menjual antara 900 hingga 1,000 songkok pelbagai jenis serta saiz dan yang paling banyak mendapat permintaan ialah songkok kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun.

Mohd Nasrum Hassan reda permintaan songkok untuk menyambut Aidilfitri kali ini berkurangan berbanding sebelum ini


“Harga songkok tempahan dijual antara RM160 hingga RM180 sebiji sementara jenis biasa berharga RM50 hingga RM65 termasuk songkok tinggi yang terkenal di kalangan masyarakat di Johor.
“Setiap kali Ramadan permintaan songkok kanak-kanak berumur antara dua hingga empat tahun berharga RM25 hingga RM40 paling tinggi mendapat permintaan. Ibu bapa teruja untuk melihat anak mereka berpakaian Melayu dan bersongkok,” katanya yang berasal dari Kampung Ketapang Hilir, di sini.
Beliau berkata, dia reda apabila rezekinya tahun ini agak perlahan disebabkan wabak COVID-19 yang melanda negara kini, pasti ada hikmah apa yang melanda dirinya serta peniaga lain kali ini.
Mohd Nasrum yang mewarisi kemahiran membuat songkok daripada arwah bapanya berkata, walaupun permintaan songkok berkurangan namun dia tetap bersyukur masih meraih pendapatan biarpun tidak seberapa.
“Tindakan kerajaan menetapkan PKP bermula esok menimbulkan masalah kepada golongan peniaga sehingga menyebabkan kerugian namun tindakan dilakukan itu demi keselamatan rakyat supaya wabak COVID-19 tidak terus merebak dan mengancam nyawa,” katanya yang sebelum ini pernah menghasilkan songkok Sultan Pahang dan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak.