Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
ROMPIN: Permintaan pengguna terhadap udang galah segar yang begitu terkenal di daerah ini berkurangan hampir 80 peratus sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Walaupun bekalan udang galah banyak namun disebabkan permintaan berkurangan, peniaga terpaksa mengehadkan penerimaannya daripada pemancing tempatan.
Peniaga udang galah, Maimunah Kerengga, 48, berkata, permintaan udang galah berkurangan sejak PKP apabila pembeli luar daerah ini tidak boleh datang ke Rompin untuk mendapatkan udang yang begitu terkenal.
Menurutnya, sebelum ini dia mampu menjual sehingga 20 kilogram udang galah gred A dan B seminggu, namun kini jumlahnya jauh berkurangan apabila hanya menjual antara lima hingga 10 kilogram sahaja.
Katanya, dia menjual udang galah gred A dengan harga RM70 sekilogram dan gred B RM65 sekilogram kepada pelanggan tetap dari luar daerah ini tetapi meteka tidak dapat datang disebabkan PKP kali ini.
“Saya difahamkan udang galah Sungai Rompin kini banyak selepas banjir, sekali gus memberi peluang pemancing tempatan menambah pendapatan dengan turun ke sungai setiap hari.
“Namun disebabkan permintaan udang galah yang kurang sepanjang PKP memaksa pemancing bertindak menyimpan udang, mungkin selepas PKP permintaannya kembali bertambah,” katanya.
Dia yang menetap di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Kedaik, Jalan Rompin-Muadzam Shah, di sini berkata, selain udang galah dia turut menjual ikan baung dan lais dengan harga antara RM25 hingga RM30 sekilogram.
Beliau berkata, dia menerima bekalan udang galah dan ikan daripada beberapa pemancing tempatan yang menghantar hasil tangkapan setiap hari untuk dijual.
Maimunah berharap selepas ini permintaan terhadap udang galah Rompin kembali bertambah apabila kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri.
Tinjauan di kawasan rehat Leban Condong, dekat sini, yang terkenal dengan kedai makan yang menghidangkan masakan udang galah mendapati rata-rata pengusahanya mengeluh apabila jumlah pelanggan berkurangan sejak PKP dilaksanakan kerajaan.
Sebelum ini ramai pelancong dari dalam dan luar negara berkunjung ke situ untuk menikmati hidangan udang galah namun kini hanya masyarakat tempatan sahaja yang datang.