Permohonan pengeluaran khas KWSP dibuka 1 April ini

Permohonan pengeluaran khas KWSP dibuka 1 April ini

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan permohonan pengeluaran khas RM10,000 akan dibuka kepada ahli di bawah umur 55 tahun bermula 1 April dan berakhir pada 30 April 2022.

KWSP dalam kenyataan media hari ini, berkata tempoh pembayaran pula akan dilaksanakan bermula 20 April 2022.

Tambah kenyataan itu lagi, ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum sebanyak RM10,000 dan minimum RM50 dan perlu mengeluarkan baki simpanan dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.

“Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak,” kata kenyataan itu.

Kerajaan Persekutuan hari ini bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun keputusan itu sukar dibuat kerana membabitkan simpanan hari tua rakyat, namun pengeluaran khas berkenaan adalah jalan tengah untuk mengimbangi keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa depan.

“Berdasarkan dapatan kajian dan penelitian menyeluruh dalam fasa pemulihan selepas pandemik ini, ada dalam kalangan Keluarga Malaysia yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina semula kehidupan. 

“Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP. Justeru, hari ini, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN