Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
PEKAN: Seramai 100 anak yatim menerima kelengkapan persekolahan, wang tunai dan keperluan asas pada program amal anjuran Persatuan Infaqniah Pekan, di sini.
Penaung Persatuan Infaqniah Pekan, Ishak Idris berkata setiap tahun pihaknya mengadakan program bantuan persekolahan, namun kali ini jumlah anak yatim bertambah sekali ganda.
Menurutnya, anak yatim terbabit menerima kelengkapan seperti seragam sekolah termasuk kasut dan kelengkapan alat tulis. Semua anak yatim berkenaan kini tersenarai sebagai penerima bantuan lain selepas ini.
Katanya, pada program kali ini
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang
(MUIP) turut menyumbangkan makanan kepada setiap anak yatim untuk kegunaan mereka sekeluarga.
“Setiap bulan Persatuan Infaqniah Pekan menghulurkan sumbangan berupa wang tunai dan keperluan asas kepada golongan memerlukan seperti ibu tunggal, pesakit kronik, asnaf dan mereka yang ditimpa musibahdi daerah ini.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk membantu golongan memerlukan dan wang sumbangan ahli setiap bulan selain derma pihak tertentu diagihkan kepada pihak yang layak,” katanya yang berharap lebih ramai menjadi ahli persatuan.
Program terbabit dengan kerjasama MUIP dan Masjid Kampung Pulau Serai, dirasmikan Pengurus MUIP Cawangan Daerah Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim.
Sementara itu Muhammad Hafidz berkata, usaha yang dilakukan Persatuan Infaqniah Pekan membantu golongan memerlukan seharusnya dipuji dan menjadi contoh kepada pertubuhan bukan kerajaan di negeri ini.
Menurutnya, kerjasama di kalangan 80 ahli mengumpul sumber kewangan dengan menyalurkan sumbangan RM30 sebulan dapat menjayakan program bantuan diadakan.
“MUIP akan terus bekerjasama dengan persatuan berkenaan dalam usaha membantu golongan asnaf di daerah ini,” katanya.