KUANTAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang berusaha mewujudkan persekitaran mesra dan selesa kanak-kanak di semua Pusat Perlindungan Kanak-Kanak (PPKK) dan Pusat Jagaan (PJ) di Pahang.
Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, ketika ini terdapat 18 PPKK dan PJ yang berdaftar serta berlesen mengikut Akta Pusat Jagaan 1993 di Pahang, termasuk 16 PJ kendalian swasta dan dua PPKK di bawah JKM sepenuhnya.
Menurutnya, Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom (RKK SHK) di Penor, Pekan, adalah pusat perlindungan terbesar daripada 114 PPKK di Malaysia bawah kendalian JKM yang kini menempatkan lebih 150 penghuni.
“Antara kemudahan yang disediakan adalah peralatan permainan, mini zoo, bengkel kemahiran dan kolam. Kanak-kanak diberi peluang untuk bermain sambil dipantau oleh petugas.
“Kita ingin melihat kanak-kanak di semua PPKK berada suasana gembira dan ceria,” katanya pada program Lawatan Kasih dan Hi Tea RKK SHK, di sini, semalam.
Program berkenaan bertujuan untuk memberi maklumat mengenai kemudahan yang terdapat di RKK SHK kepada ketua jabatan di negeri ini.
Zulkhairi menambah, kanak-kanak diberi semua kemudahan termasuk pendidikan akademik dan agama, kemahiran serta rawatan di semua PPKK di samping kaunseling sekiranya diperlukan. – MOHD IMRAN IZZAD