KUALA LUMPUR: “Sejarah membuktikan apabila ada pertandingan, kita akan berpecah dan untuk kembali bersatu akan memakan masa,” demikian reaksi YAB Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata begitu mengulas keputusan majoriti perwakilan menyokong usul tambahan supaya tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, hari ini.
Wan Rosdy berkata, UMNO ketika ini amat memerlukan sokongan penuh daripada ahli parti, lebih-lebih lagi tatkala Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semakin hampir.
“Alhamdulillah, nampaknya perwakilan dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO) kali ini menunjukkan kematangan apabila hampir keseluruhan menyokong usul tambahan supaya dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.
“Kita (UMNO) sekarang tidak kuat dan mesti bersatu untuk berdepan PRN akan datang.
“Sekiranya dipertandingkan, kita tak dapat elak akan berlaku perpecahan dan untuk kembali bersatu hati akan memakan masa yang panjang,” katanya kepada media selepas ucapan penggulungan PAU 2022 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Semalam, perwakilan UMNO Negeri Sembilan yang juga wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, mengemukakan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dalam Pemilihan UMNO tahun ini.
Usul tambahan itu diluluskan menerusi undian kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri sebagai menyatakan sokongan kira-kira jam 5 petang.
Keputusan itu kemudian diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin, sebelum sesi penggulungan perbahasan dimulakan. – HELMY ABD RAHMAN