Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM7.8 juta bagi meringankan bebanan rakyat negeri ini yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PKP Diperketatkan (PKPD).
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 itu disediakan sebagai tanda kerajaan negeri mengambil kisah terhadap permasalahan rakyat yang sedang berdepan tempoh sukar ketika ini.
“Sukacita saya umumkan peruntukan RM7.8 juta bagi pelaksanaan BPP COVID-19 secara bersasar kepada rakyat Pahang yang terkesan dengan pelaksanaan PKP 3.0 dan PKPD.
“Peruntukan besar ini sebagai tanda kerajaan negeri mengambil berat permasalahan rakyat, apatah lagi dalam menghadapi tempoh yang sukar sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, seperti inisiatif bantuan disediakan kerajaan negeri sebelum ini, BPP COVID-19 secara bersasar kali ini masih dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan.
“Antara golongan yang akan mendapat manfaat menerusi bantuan ini ialah petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, pesakit COVID-19 aktif termasuk mangsa yang menjalani kuarantin di rumah, gelandangan, miskin tegar, OKU (orang kelainan upaya) dan warga emas penerima bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) berusia 80 tahun ke atas.
“Kita mampu menyediakan dana bantuan ini berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan negeri ketika ini,” katanya.
Katanya lagi, segala persediaan sedang giat dilakukan dan beliau berharap pengagihan sebenar BPP COVID-19 secara bersasar itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.