Perwakilan belia dinasihati manfaatkan peruntukan RM210,000

Perwakilan belia dinasihati manfaatkan peruntukan RM210,000

KUANTAN: Inisiatif RM210,000 kepada 42 perwakilan Sidang Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang melalui peruntukan Kerajaan Pahang diharap dimanfaatkan sebaik mungkin.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, berkata peruntukan RM5,000 kepada setiap perwakilan secara sekali bayar itu bagi menjalankan program di kawasan masing-masing.

Justeru, katanya, peruntukan itu diharap dibelanjakan dalam menggerakkan program yang bersesuaian membabitkan golongan belia.

“Wakil rakyat di setiap DUN akan memantau untuk memastikan peruntukan ini memberikan manfaatkan kepada golongan belia.

“Inisiatif kerajaan negeri ini juga diharap menyuntik semangat kepada perwakilan belia untuk melaksanakan program yang mampu memberi impak positif,” katanya.

Mohd Johari ditemui selepas Sesi Penggulungan Sidang Belia DUN Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini semalam.

Kelmarin, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengumumkan peruntukan RM210,000 kepada 42 perwakilan pada majlis perasmian Sidang Belia DUN Pahang dan Makan Malam di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar Pahang, Jalan Teluk Sisek, di sini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN