KUALA LUMPUR: Hampir keseluruhan perwakilan UMNO di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) berdiri bagi menyokong usul tambahan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, hari ini.
Usul tambahan itu diluluskan menerusi undian kiraan tangan dan perwakilan yang berdiri sebagai menyatakan sokongan kira-kira jam 5 petang.
Keputusan itu kemudian diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin, sebelum sesi penggulungan perbahasan dimulakan.
Semalam, perwakilan UMNO Negeri Sembilan yang juga wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd Shukri Shamsudin, mengemukakan usul tambahan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam Pemilihan UMNO tahun ini. – HELMY ABD RAHMAN