Pes durian Pahang semakin terkenal

Pes durian Pahang semakin terkenal

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Pusat Pemprosesan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Jerantut, kini mampu mengeluarkan di antara 500 dan 600 kilogram pes durian kampung sehari.

Pengarah FAMA Pahang, Noh Nik Wan, berkata tumpuan utama kini ialah untuk menghasilkan seberapa banyak pes bagi memenuhi permintaan yang akan bertambah selepas musim durian berakhir.

JERANTUT…proses menghasilkan pes durian di
Pusat Pemprosesan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan  (FAMA) Jerantut yang menghasilkan antara 500 hingga 600 kilogram pes sehari.

Katanya, setiap hari sekurang-kurangnya lima tan durian kampung diproses dan pengeluaran bergantung kepada penerimaan buah daripada pekebun. 

Menurutnya, pada musim durian kali ini Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut menerima lebih lapan tan durian kampung dan klon setiap hari, termasuk tiga tan untuk pasaran segar manakala selebihnya untuk menghasilkan pes dan tempoyak.

“PKP 3.0 turut menjadi antara faktor utama Pusat Pemprosesan FAMA Jerantut menerima banyak durian kerana ketiadaan pemborong dan pembeli luar,” katanya. 

Beliau berkata, pes durian mendapat permintaan tinggi kerana dijadikan asas untuk menghasilkan aiskrim, kek dan biskut.

“Selain itu, pusat operasi FAMA Lanchang, Temerloh, kini di peringkat percubaan untuk menghasilkan pes dan tempoyak. Jika berhasil ia akan terus beroperasi pada masa akan datang bagi menampung permintaan pes durian,” katanya.