PESAKA Pahang anugerah gelaran pendekar kepada 36 guru silat, bulan depan

PESAKA Pahang anugerah gelaran pendekar kepada 36 guru silat, bulan depan

KUANTAN: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Pahang akan menganugerahkan gelaran pendekar kepada 36 guru silat di seluruh Pahang, 26 Mac ini.

Presidennya, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah, berkata pada majlis itu, pihaknya akan menyampaikan selempang kepada 36 guru silat terbabit sebagai simbolik penganugerahan gelaran pendekar.

“Majlis ini  bakal diadakan di Dewan Besar Dato’ Sri Abdul Manan Ismail, Paya Besar dan akan disempurnakan KDYMM Pemangku Raja Pahang (Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah)

“Tujuan kita menganugerahkan gelaran pendekar ini ialah untuk memastikan guru-guru silat terbabit bersemangat mengembangkan silat masing-masing dan terus menyemarakkan gelanggang masing-masing, sekali gus memantapkan lagi semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air serta mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu,” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, semalam.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PESAKA berkata, pemilihan pendekar terbabit dilakukan oleh satu jawatankuasa khas yang dilantik PESAKA Pahang.

“Antara syaratnya ialah mereka harus terdiri daripada guru-guru silat dan mempunyai salasilah yang jelas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing itu mengajak orang ramai terutama peminat filem aksi dan persilatan untuk memberi sokongan dengan menyaksikan filem Syahadan yang sedang ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh negara.

“Syahadan adalah filem aksi yang mengetengahkan seni persilatan dari pelbagai aspek budaya pengamal ilmu silat dan juga filem sulung terbitan Trilion Marketing Sdn Bhd dengan kerjasama PESAKA. 

“Filem ini diarahkan Datuk Dr Fairus Hussain dan Halim Hassan serta menampilkan pesilat negara, Al-Jufferi Jamari sebagai teraju utama.

“Kepada pencinta seni silat, ayuhlah saksikan tayangan filem ini di pawagam berhampiran anda,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN