BIARPUN menyandarkan 28 pesilat baharu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) XX MSN 2022, Persatuan Silat Negeri Pahang (Pesaka Pahang) percaya sasaran lima pingat emas mampu direalisasikan.
Setiausaha Agung Pesaka Pahang, Dato’ Osman Nok berkata kekurangan pengalaman bukan penghalang untuk mencapai sasaran.
Katanya, 32 pesilat didaftarkan untuk bertanding dalam kategori silat olahraga dan silat seni pada Sukma kali ini.
“Daripada jumlah itu, hanya empat pesilat yang pernah beraksi di Sukma manakala 28 pesilat adalah atlet baharu yang kali pertama mencuba nasib di temasya kali ini.
“Kita harapkan dengan latihan intensif serta beberapa kejohanan yang disertai sebagai persediaan menghadapi Sukma akan membantu melakarkan kejayaan,” katanya.
Untuk rekod, skuad silat Pahang membawa pulang enam emas pada Sukma Perak 2018. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN