CAMERON HIGHLANDS: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengenakan kompaun RM3.9 juta kepada pesalah hutan sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Dato’ Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, pihaknya turut merampas 44 pelbagai jentera yang digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan kesalahan hutan.
Katanya, usaha membanteras aktiviti menceroboh hutan simpan terus dilakukan oleh Unit Penguatkuasa JPNP Pahang Barat dan Pahang Timur akan terus dilakukan.
Menurutnya, pelbagai kaedah digunakan untuk mengesan kegiatan haram itu, termasuk menggunakan satelit dan dron.
“Sembilan operasi bersepadu dilakukan dengan kerjasama beberapa agensi penguatkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pejabat Tanah dan Daerah serta Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP), tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program perhimpunan bulanan JPNP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Tanah Rata, di sini, hari ini.
Pada program itu, Mohd Hizamri mewakili Persatuan Kebajikan dan Sukan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (PEKSJAP) menyerah replika cek RM58,300 bantuan persekolahan sesi 2022 untuk anak kakitangan JPNP.