LIPIS: Kerajaan Pahang melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP), bersetuju melupuskan hutang tanaman semula kelapa sawit sebanyak 80 peratus kepada peserta tanam semula PKPP membabitkan jumlah sebanyak RM11.13 juta daripada hutang keseluruhan hampir RM14 juta.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata ia merangkumi 194 peserta dari lima ladang Rancangan Tanah Pemuda (RTP) dan satu ladang kecil milik peserta yang diuruskan oleh PKPP.
Katanya, RTP terbabit adalah RTP Sepayang di Rompin, RTP Gemuruh (Pekan), RTP Kampung Awah (Bera), RTP Sungai Ular (Lipis), RTP Klau (Raub), dan Ladang Kecil Sungai Charu (Kuantan) meliputi jumlah keseluruhan ladang seluas hampir 74 hektar.
“Kertas cadangan pelupusan 80 peratus hutang ini dibentangkan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah PKPP ke-287 pada 15 November 2021 dan Mesyuarat Lembaga Pengarah PKPP ke-288 pada 24 Mac 2022 dan Lembaga Pengarah PKPP bersetuju dengan cadangan ini.
“Pengurusan PKPP telah mengadakan sesi perjumpaan bersama peserta untuk mendapatkan maklum balas berhubung cadangan ini yang mana majoriti peserta bersetuju dengannya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, pelupusan hutang terbabit adalah sebanyak 80 peratus sahaja, manakala baki 20 peratus lagi masih perlu dijelaskan peserta.
“Peserta yang telah menjelaskan semua hutang boleh menguruskan sendiri ladang mereka atau menyerahkan pengurusan ladang kepada anak syarikat PKPP berkuatkuasa Jun ini,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN