Petani Pahang akan terima bantuan bencana MAFI 

Petani Pahang akan terima bantuan bencana MAFI 

KUANTAN: Sekurang-kurangnya 1,743 petani di negeri ini yang tanaman mereka musnah dalam banjir pada Disember 2021 tahun berpeluang menerima bantuan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Pahang (JPNP) Muhd Rizal Baharom berkata, mereka terbabit terdiri daripada 1,249 penanam padi dan 494 pekebun sayur dan buah-buahan.

Menurutnya, dua bentuk bantuan disediakan kerajaan membabitkan kewangan dan input pertanian serta peralatan bagi memberi peluang kepada golongan terbabit memulakan semula projek yang diusahakan.

Katanya, penanam padi atau pesawah yang berdaftar menerima bantuan kewangan Tabung Bencana Tanaman Padi dan mereka berpeluang menerima sehingga RM5,400.

“Bagi pengusaha tanaman serta industri asas tani (IAT) yang barangan mereka musnah ditenggelami banjir, mereka layak menerima sehingga RM50,000.

“Bagi mereka yang terbabit dengan tanaman agro-makanan, mereka berpeluang menerima bantuan Tabung Pembangunan Semula Projek Agromakanan sehingga RM60,000,” katanya, di sini, hari ini.

Muhd Riza berkata, kerugian lebih RM13.4 juta dialami dalam sektor pertanian tanaman agromakanan di Pahang akibat bencana banjir luar biasa akhir tahun lalu. – MOHD IMRAN IZZAD