Petani rugi kebun tenggelam banjir

Petani rugi kebun tenggelam banjir

Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic/Video Mohd Imran Izzad

KUANTAN: “Saya kerugian
lebih RM4,000 apabila 2,500 polibeg tanaman cili besar musnah ditenggelami banjir di kawasan projek pertanian Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Inderapura, di sini,” kata pekebun Mahadi Ariffin, 46.
Menurutnya, semua pokok cili berumur sebulan yang diletakkan di atas tanah musnah apabila keseluruhan kebun seluas lebih dua hektar ditengelami banjir sedalam hampir satu meter sejak seminggu lalu.


Katanya, ini kali pertama kawasan kebun yang diusahakan sejak tiga tahun lalu ditengelami banjir dan hampir keseluruhan projek tanaman sayur di TKPM Inderapura kini dipenuhi air yang mula surut walaupun agak perlahan berikutan keadaan cuaca tidak menentu sekarang
“Tanaman timun mini sebanyak 5,000 polibeg yang saya usaha menggunakan kaedah fertigasi turut mengalami masalah berikutan banjir yang kini bertahan selama seminggu menyebabkan pengeluaran buah merosot 70 hingga 80 peratus berbanding musim sebelum ini.
“Pada musim panas saya mampu meraih hasil antara 600 hingga 700 kilogram (kg) sehari namun kini menurun kepada 150 hingga 200kg sehari sahaja dan buah juga banyak rosak diserang serangga,” katanya.
Beliau berkata, dia dan pekerjanya terpaksa menggunakan bot gentian kaca untuk memungut hasil kerana keseluruhan kawasan kebun kini ditengelami banjir sedangkan aktiviti memungut buah perlu dilakukan setiap hari bagi memastikan kualitinya tidak terjejas.
Mahadi berkata, pendapatan jualan timun mini kini berkurangan walaupun harganya agak tinggi dan ia dijual antara RM2 hingga RM3 sekilogram bagi gred A manakala buah bersaiz besar harganya akan jatuh dan sukar dipasarkan.
Tambahnya, perhatian yang diberikan pegawai Pejabat Pertanian Daerah Kuantan dapat memberi sinar harapan terutama apabila dimaklumkan kerajaan ada menyediakan bantuan ihsan kepada pekebun yang terjejas kerana banjir.
Rakannya, Zulkarnain Abdul Razak, 48, berkata banjir yang berlaku menyebabkan keseluruhan kebun timun diusahakannya ditengelami air pada paras pinggang orang dewasa.
“Saya terpaksa menjadikan penutup tangki sebagai perahu untuk mengutip hasil setiap hari kerana aktiviti berkenaan perlu dilakukan setiap hari bagi mengelakkan buah melebihi saiz pasaran.
“Banjir kali ini agak besar berbanding sebelum ini dan air pula lambat surut hingga bertahan lebih seminggu,” katanya yang lebih lima tahun mengusahakan projek pertanian.
Katanya, untuk memungut hasil timun musim banjir kali ini dia dibantu anaknya, Norafifah Husna.