KUANTAN: Seramai 1,500 murid dan pelajar kurang berkemampuan di Pahang akan menerima set baharu peralatan sekolah dan kit kebersihan diri di bawah program ‘Back To School’ (BTS) 2022 oleh Yayasan PETRONAS.
Sumbangan itu menyaksikan peningkatan sebanyak 71 peratus berbanding tahun lalu yang mana sebanyak 800 murid dan pelajar menerimanya di Pahang.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri amat berbesar hati dengan peranan dimainkan Yayasan PEETRONAS yang saban tahun menunjukkan komitmen tinggi untuk membantu golongan murid dan pelajar kurang berkemampuan khususnya di negeri ini.
“Untuk tahun ini, jumlah peruntukan diberikan untuk BTS 2022di Pahang sahaja sebanyak RM405,000 sekali gus membolehkan 1,500 penerima di 38 sekolah rendah dan menengah menerusi senarai disediakan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) belajar dengan selesa dan sempurna.
“Kita juga berharap sumbangan ini dapat meringankan bebanan dihadapi golongan berpendapatan rendah dalam membuat persiapan menghadapi sesi persekolahan 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang selepas majlis ringkas Sentuhan Ilmu (Pendidikan) – BTS 2022 bagi Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Seramai 8,700 murid dan pelajar disenaraikan sebagai penerima bagi program BTS 2022 di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Setiap penerima dibekalkan sepasang pakaian seragam sekolah, pakaian sukan, kasut sekolah dan stokin, sebuah beg galas, bekas makanan dan botol minuman serta keperluan pembelajaran seperti set alat tulis, set geometri dan buku aktiviti.
Mereka juga menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan yang boleh diulang pakai serta dua helai tuala muka.
Untuk rekod, Sentuhan Ilmu (Pendidikan) – Program BTS adalah program tahunan PETRONAS yang dimulakan sejak 2003 dengan matlamat untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah dalam bidang pendidikan. – HELMY ABD RAHMAN