KUANTAN: Empat puluh keluarga kurang bernasib baik di Bera menerima sumbangan bekalan makanan bernilai RM200 daripada Yayasan Petronas.
Sumbangan itu sempena Program Sentuhan Kasih Tahun Baru Cina yang membabitkan 140 keluarga di Pantai Timur iaitu 40 keluarga di Bera manakala masing-masing 50 lagi di Kota Bharu, Kelantan dan Kemaman, Terengganu.
Pengurus Kanan Petronas Pantai Timur, Azeman Said, berkata antara bekalan makanan asas yang disampaikan itu adalah beras, bihun, tepung, beras pulut, biskut, gula dan teh uncang serta keperluan memasak seperti minyak masak dan kicap manis.
“Setiap keluarga turut menerima sumbangan kit penjagaan dan kebersihan diri seperti kit ujian COVID-19, pencuci sanitasi tangan, tisu basah dan pelitup muka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Sentuhan Kasih Tahun Baru Cina di Rumah Kanak-Kanak Rapha, di sini, hari ini.
Majlis penyerahan sumbangan disampaikan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin.
Sementara itu, Norolazali berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada Yayasan Petronas yang menghulurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik di negeri ini.
“Diharapkan sumbangan ini akan berterusan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN