MARAN: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran menyumbang tiga ratus pokok balak dan hiasan kepada Areno Maran Hill Golf Resort (MHGR), di sini, hari ini.
Selain itu, lima puluh pokok turut diberikan kepada Pejabat Daerah Maran (MDM) untuk di tanam di kawasan Tasik Jengka.
Pegawai Hutan Daerah Kuantan, Pekan dan Maran, Norshazlee Roslee berkata, program sempena Kempen Penanaman 5 Juta Pokok Peringkat Pahang itu disertai lebih seratus peserta.
Menurutnya, mereka terdiri daripada kakitangan MDM, penuntut Pusat Giat Mara Jengka dan Kolej komuniti Maran dibantu kakitangan Pejabat Belia dan Sukan Maran serta PHD Kuantan, Pekan dan Maran.
“Ini kali pertama PHD Kuantan, Pekan dan Maran menjalinkan kerjasama dengan MHGR sebagai usaha mengindahkan kawasan terbabit selari dengan Kempen Penanaman 5 Juta Pokok Peringkat Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Rakan Muda Day Out ‘Go Green’ dan Kempen Penanaman 5 Juta Pokok peringkat daerah Maran 2022 di MHGR, yang turut dihadiri Pengarah Urusan Arenor MHGR, Dato’ Mohd Fairus Muhammad Urep. – MOHD IMRAN IZZAD