DOHA (QATAR): KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron atas kejayaan pasukan negara itu melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
Semalam, Baginda Tuanku berkenan berangkat menyaksikan perlawanan separuh akhir kejohanan berkenaan antara Perancis dan Maghribi di Stadium Al Bayt, Doha.
Perlawanan yang memihak kepada Perancis dengan keputusan 2-0 turut dihadiri dan disaksikan Macron.
Istana Negara menerusi sattu kenyataan media hari ini memaklumkan, Al-Sultan Abdullah kini dalam rangka lawatan khas ke Qatar selama enam hari bermula 13 Disember lalu.
“Lawatan khas ini adalah atas persilaan peribadi Yang Mulia Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al Thani sempena temasya bola sepak Piala Dunia FIFA Qatar 2022.
“Seri Paduka turut dijadualkan menerima menghadap beberapa pemimpin Kerajaan Qatar dan berangkat menghadiri majlis santapan bersama rakyat Malaysia di Qatar dalam rangka lawatan khas ini,” menurut kenyataan itu.
Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat tiba di tanah air pada 19 Disember ini. – HELMY ABD RAHMAN