JERANTUT: Semua pihak dari luar Pahang yang berhasrat membantu mangsa banjir di negeri ini perlu terlebih dahulu mendaftar dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata proses berkenaan bukan untuk menyusahkan, sebaliknya bagi mengelakkan pertindihan bantuan sekali gus menghindar daripada berlaku pembaziran.
“Kerajaan Pahang amat mengalu-alukan bantuan dari luar, baik daripada agensi kerajaan, NGO (badan bukan kerajaan), mahupun pihak swasta untuk membantu mangsa banjir yang terjejas, sama ada dalam bentuk barangan, makanan, kewangan atau sukarelawan.
“Namun, mereka hendaklah mendaftar dengan PKOB daerah agar tidak berlaku pertindihan bantuan sehingga berlakunya pembaziran,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, jika tiada penyelarasan, berkemungkinan sesuatu tempat itu mendapat dua atau tiga kali bantuan dan mungkin berlaku pembaziran dan mungkin juga ada tempat tercicir atau kurang bantuan.
Wan Rosdy bagaimanapun berkata, kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada pihak luar yang datang membantu mangsa banjir di Pahang.
“Ini membuktikan rakyat Malaysia amat prihatin dengan kesusahan yang dialami penduduk negeri ini dan ingin membantu baik dari segi barangan, kewangan dan tenaga sekali gus menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia,” katanya. MUHAMMAD NAJMIE