Pindah 58 kubur lama tebing Sungai Jelai

Pindah 58 kubur lama tebing Sungai Jelai

LIPIS: Sebanyak 58 kubur lama berusia ratusan tahun terletak di Tanjung Betong, Kampung Kuala Telang, di sini terpaksa dipindahkan oleh pihak berwajib berikutan kejadian hakisan tebing Sungai Jelai.

   Tanah perkuburan terbabit dikatakan ujud sama dengan pembukaan Kampung Kuala Telang yang merupakan penempatan terawal di Hulu Pahang namun kini kampung berkenaan ditinggalkan berikutan sering ditenggelami banjir pada musim tengkujuh.

  Pegawai Agama Islam Daerah Lipis, Mohd Zainudin Zakaria berkata, keadaan runtuhan tebing sungai berkenaan yang semakin serius mengharuskan pemindahan kubur dilakukan kerana terdapat keperluan dan kewajaran yang perlu diambil kira.

  Katanya, selepas mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib termasuk waris sebahagian kubur keputusan memindahkan kubur lama itu terpaksa dibuat segera.

   “Kubur perlu digali sedalam kira-kira 1.83 meter bagi tujuan mengesan jenazah dan sekiranya tidak dijumpai, tanah berwarna hitam yang disifatkan sebagai cebisan mayat diambil dan dimasukkan ke dalam karung diperbuat daripada kain putih sebelum dikebumikan semula.

  “Daripada 58 kubur yang digali hanya  terdapat lapan yang masih ada sisa tulang yang jelas dan kita kebumikan dalam liang lahad baharu. Manakala selebihnya kita kumpul dan kebumikan dalam satu liang lahad,” katanya.

  Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Proses Pengalihan Kubur Lama Tanjung Betong ke Tanah Perkuburan Kampung Berala sejauh kira-kira 0.5 kilometer, di sini kelmarin.

  Turut sama hadir Timbalan Mufti Pahang, Dato’ Abdul Zaki Md Zin dan

Pakar Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Dr Norzaimah Mohd Idris.- MOHD IMRAN IZZAD.