Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Sudahlah wang pinjaman tidak dapat, duit simpanan sendiri pula lesap. Itulah nasib yang menimpa kerani wanita berusia 39 tahun selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa dari Kampung Darat Sungai Ular tertarik dengan iklan pinjaman wang di Facebook.
“Kemudian mangsa berurusan melalui Whatsapp dengan ejen syarikat terbabit dan bersetuju untuk membuat pinjaman RM15,000 untuk kegunaan peribadi.
“Suspek kemudian mengarahkan mangsa untuk membuat bayaran terlebih dahulu sebagai kos memproses permohonan pinjaman berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, mangsa membuat lima kali pindahan wang ke akaun yang diberikan suspek berjumlah RM7,810, pada 2.40 petang, 13 Ogos lalu.
“Sehingga ini, mangsa tidak menerima wang pinjaman terbabit dan mengesyaki dia sudah ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Cherating,” katanya.