PKGK berjaya tangkap 336 ekor gajah liar.

PKGK berjaya tangkap 336 ekor gajah liar.

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Pic Mohd Imran Izzad 

TEMERLOH: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, dekat sini, berjaya menangkap 336 ekor gajah di tujuh negeri dalam tempoh 10 tahun sejak 2011.

Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, menjalankan operasi memindahkan gajah liar di Kampung Tiat, Lipis, bulan lalu.

  Haiwan berkenaan ditangkap dan dipindahkan ke habitat semulajadi selepas dikesan menceroboh kawasan penempatan termasuk bertindak memusnahkan tanaman kelapa sawit dan kebun milik penduduk setempat.

  Ketua PKGK Kuala Gandah, Muhammad Khairul Adha Mat Amin berkata, Kelantan mencatat tangkapan terbanyak iaitu 78 ekor diikuti Perak (76); Johor (61); Pahang (58); Terengganu (50); Negeri Sembilan (9) dan Kedah (4).

  Menurutnya, tahun lalu Kelantan mencatat jumlah terbanyak tangkapan gajah iaitu sebanyak 16 ekor diikuti Johor (9); Terengganu (6); Perak (4) dan Pahang (3). Bulan lalu pihaknya menangkap 

enam ekor gajah masing-masing seekor di Kampung Tiat, Lipis dan lima lagi di Kampung Kuala Tiga, Kelantan.

  Katanya, kerjasama diberikan kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dapat melancarkan lagi setiap kali operasi memindahkan haiwan berkenaan dilakukan.

  “PKGK Kuala Gandah kini mempunyai dua gajah denak iaitu Abot dan Rambai yang akan terbabit setiap kali operasi memindahkan gajah liar, kemahiran dimiliki Abot dan Rambai melancarkan operasi dilakukan.

  “Namun sekiranya ada keperluan dua gajah denak 

Suria dan Kaila dari Sungai Deka, Terengganu, digunakan untuk membantu melancarkan lagi operasi terutama di kawasan Pantai Timur,” katanya.

  Beliau menambah, pengalaman luas di kalangan anggota PKGK Kuala Gandah menjadi kelebihan pasukannya yang kini terdiri daripada gandingan kakitangan baharu dan lama, malah mereka mempunyai persefahaman yang terbaik setiap kali bertugas di lapangan.

  Muhammad Khairul Adha berkata, seramai 20 hingga 25 kakitangan akan terbabit setiap kali operasi memindahkan gajah dan setiap kakitangan mempunyai tugas dan peranan masing-masing yang melancarkan setiap kali operasi dilakukan.

  “Pasukan PKGK Kuala Gandah kini sedang menjalankan operasi mengesan dan menangkap kumpulan beberapa ekor gajah di Jerantut. Saya yakin haiwan berkenaan yang memusnahkan tanaman penduduk sebelum ini dapat ditangkap sedikit masa lagi.

  “Saya mengingatkan kepada penduduk berhadapan ancaman gajah liar supaya tidak mengambil tindakan dengan apa cara sekali pun kerana ia boleh mengundang kejadian tidak diingini dan langkah terbaik perlu dibuat ialah membuat aduan kepada Perhilitan bagi tindakan yang sesuai,” katanya yang sentiasa memantau pergerakan beberapa kumpulan gajah liar di Pahang.