Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Pic Mohd Imran Izzad
TEMERLOH: Unit Tangkapan Gajah
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang berjaya menangkap dan memindahkan seekor gajah jantan di Kampung Karak Setia, di sini kelmarin.
Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, selepas menerima aduan pihaknya segera ke kampung berkenaan yang terletak beberapa kilometer daripada PKGK Kuala Gandah
bagi meninjau sebelum tindakan selanjutnya dilakukan.
Menurutnya, usaha menjejak haiwan berkenaan dilakukan dan menemuinya berada dibelakang rumah penduduk selepas memusnahkan tanaman, gajah diangarkan berumur kira-kira 30 tahun itu ditembak dengan pelali di kawasan hutan berhampiran.
Katanya, usaha memindahkan gajah jantan yang mempunyai sepasang bergading itu berjalan lancar dengan bantuan dua gajah denak, Abot dan Lasah. Turut membantu anggota Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.
“Gajah jantan berkenaan dipercayai meninggalkan kumpulannya untuk bergerak sendirian sebelum masuk ke kawasan Kampung Karat Setia untuk mencari makan.
“Hutan Simpan Kemasul yang terletak berhampiran kampung terbabit memudahkan haiwan berkenaan untuk sampai ke kawasan Kampung Karak Setia untuk mencari makan pada waktu malam,” katanya, di sini kelmarin.
Beliau berkata, gajah denak, Abot dan Lasah terpaksa menarik gajah liar terbabit sejauh 200 meter untuk dinaikan keatas lori, operasi berkenaan mengambil masa lebih tiga jam.
Che Ku Mohd Zamzuri berkata, operasi pindah berkenaan disertai seramai 20 anggota unit tangkapan gajah PKGK Kuala Gandah dan unit tangkapan gajah Perhilitan Pahang.Operasi terbabit turut disertai Pengarah Perhilitan Pahang, Rozidan Md Yasin dan Pakar Gajah Perhilitan, Salman Saaban.
Katanya, gajah jantan diangarkan berat dua tan itu dipindahkan ke Taman Negeri Terengganu.
“Kita akan terus memantau kawasan Kampung Karak Setia dan penduduk dinasihatkan supaya segera menghubungi Perhilitan sekiranya melihat kehadiran gajah di kampung mereka.
“Haiwan terbabit keluar daripada kawasan hutan habitat semulajadi berikutan kawasan keliaran semakin kecil disebabkan aktiviti penerokaan untuk pertanian.
“Saya mengingatkan kepada penduduk supaya tidak bertindak menghalau gajah yang masuk ke kampung kerana tindakan itu mengundang kepada kejadian tidak diingini,” katanya.