PKP 3.0: Rezeki penanam tembikai di Kampung Ubai tersasar lagi

PKP 3.0: Rezeki penanam tembikai di Kampung Ubai tersasar lagi

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Seramai 17 penanam tembikai di Kampung Ubai, di sini, berhadapan kerugian kali kedua berturut-turut berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila hasil tanaman mereka yang kini mula masak tidak dapat dipasarkan mengikut jadual.

Penanam tembikai, 
Ramli Botok.

  Rata-rata penanam ditemui mengadu mereka sekali lagi bakal menanggung kerugian besar selepas episod sama berlaku awal tahun lalu.

  Pekebun muda, Ain Izuadin Mohd Ghazali, 26, berkata, pengeluaran tembikai di Kampung Ubai ditetapkan sepanjang April hingga Mei, di mana hasil akan dituai secara berperingkat mengikut permintaan pembeli.

  Menurutnya, tahun lalu rata-rata pekebun mengalami kerugian besar apabila tembikai tidak dapat dipasarkan disebabkan PKP, menyebabkan buah terpaksa dijual kepada pemborong jualan bawah khemah di tepi Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai.

Pekebun tembikai, 
Ain Izuadin Mohd Ghazali termenung memikirkan kaedah untuk memasarkan buah tembikai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

  “Tahun lalu saya mengalami kerugian kira-kira RM9,000 apabila buah tidak dapat dijual menyebabkannya rosak. Pekebun lain mengalami nasib yang sama malah ada yang mengalami kerugian lebih besar.

  “Kebanyakan hasil akan keluar secara berperingkat namun disebabkan jumlah pekebun yang ramai akan berlaku lambakan,” katanya yang mengusahakan tanaman tembikai jenis boci seluas lebih 1.6 hektar.

  Beliau berkata, pekebun tidak menyangka PKP sekali lagi dilaksanakan di seluruh negara, sekaligus impian meraih pendapatan hasil kebun tidak menjadi kenyataan lagi buat kali kedua berturut-turut.

Tembikai keluaran Kampung Ubai terkenal dengan keenakannya.

  Ain berkata, dia terpaksa menggunakan platform media sosial untuk memasarkan sebahagian hasil tembikainya, namun masih banyak buah belum dipetik disebabkan pasaran yang terlalu perlahan.

  “Jualan bawah khemah tepi Jalan Kuantan-Pekan tidak serancak sebelum ini berikutan sekatan rentas daerah. Pekebun kini hanya mampu berserah selain berharap ada pihak dapat membantu,” katanya yang mengeluarkan modal lebih RM21,000.

  Rakannya, Ramli Botok, 62, berkata, dia sepatutnya sudah memasarkan hasil secara berperingkat namun disebabkan tiada pasaran, buah tembikai terpaksa dibiarkan di kebunnya seluas lebih 1.6 hektar.

  “Kira-kira 25 tan buah sedia dipasarkan pada musim ini namun sehingga kini tidak dapat dijual kerana tiada pasaran.

  “Pemborong tidak boleh datang untuk mengambil buah dan aktiviti jualan tepi jalan kurang sambutan, pastinya saya sekali lagi akan rugi selepas mengeluarkan modal RM20,000,” katanya yang mengusahakan tanaman tembikai jenis boci sejak lebih 40 tahun lalu.