PKP cetus ilham ternak ayam kampung

PKP cetus ilham ternak ayam kampung

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

MARAN: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa kerajaan tahun lalu seolah-olah membuka ilham kepada seorang warga emas untuk mengusahakan projek ternakan ayam kampung asli dan kacukan. 

  Bermula dengan 100 ekor ayam jumlahnya kini bertambah kepada lebih 3,000 dan usaha menambahkan lagi bilangan itu dilakukan secara berperingkat.

  Menurut Abdullah Yusoff, 60, dia mengusahakan projek ternakan secara terbuka dalam petak atau kawasan kurungan berasingan dan ayam diberikan makan dua hingga tiga kali sehari bergantung kepada umur.

  Katanya, selain menternak dia juga menghasilkan anak ayam menggunakan teknologi  inkubator bagi menampung jumlah anak ayam yang diperlukan setiap bulan.

  “Permintaan menggalakkan  serta harga yang memuaskan sepanjang PKP mendorong saya menceburi projek ternakan ayam kampung asli dan kacukan secara komersil, tambahan pula kawasan tanah rizab Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pahang yang luas menjadi kelebihan untuk saya mengusahakan projek berkenaan.

  “Sebelum ini saya mengusahakan projek ternakan itik telur sebanyak 4,000 ekor, tetapi tahun lalu saya menjualnya selepas ternakan berkenaan  tidak lagi mampu menghasilkan telur pada jumlah ditetapkan.

  “Projek ternakan ayam kampung asli dan kacukan lebih cepat mengeluarkan hasil dan tidak banyak berhadapan masalah. Ayam berumur dua hingga enam bulan sudah boleh dijual,” katanya.

  Beliau yang mengusahakan projek ternakan di Kampung Baru Huma Luas, di sini, berkata, kerjasama dengan anak saudara, Norbaya Mohd dapat melancarkan projek berkenaan yang kini semakin berjaya.

  Abdullah menambah, dia bercadang untuk membesarkan lagi projek ternakan ayam kampung asli dan kacukan bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin bertambah terutama sepanjang PKP.

  Menurutnya, ayam yang mencapai berat 1.2 hingga 2 kilogram akan dijual dengan harga antara RM9 hingga 15 sekilogram dan biasanya pembeli membuat tempahan secara mingguan selain ada juga yang datang terus ke ladang.

  “Bekalan anak ayam yang terhad menyebabkan saya tidak dapat membesarkan projek, jadi usaha menghasilkan anak ayam kini giat dilakukan mengikut teknologi moden menggunakan telur yang dihasil di ladang ini.

  “Saya juga kini menunggu giliran menerima tempahan anak itik telur. Kini hanya ada 100 itik berumur dua bulan,” katanya yang bercadang menternak lembu dan kambing selepas ini.