Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Tiga daripada 13 lokaliti di daerah ini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 18 Julai lalu dan sepatutnya tamat esok, dilanjutkan pelaksanaannya.
Lokaliti terbabit ialah di Taman Indera Sempurna, Taman Tas dan Pandan serta Taman Impianku yang bersambung pada Ahad ini hingga 14 Ogos depan.
Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Dato’ Sri Hishammuddin Hussein, berkata 10 lokaliti di Kuantan pula akan menamatkan pelaksanaan PKPD esok, seperti yang dijadualkan.
“Sepuluh lokaliti itu ialah di Tanjung Lumpur, Peramu, Anak Air, Sungai Derhaka, Kempadang, Sungai Soi, Sungai Isap, Kampung Pahang, Taman Seri Inderapura dan Lorong Seri Teruntum.
“Turut ditamatkan PKPD esok sejak pelaksanaan 18 Julai lalu ialah Taman Chengal di Temerloh,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Kampung Tanjung Kerayong, Mentakab, di Temerloh pula dikenakan PKPD, 1-14 Ogos depan.
“Keputusan ini diambil selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19,” katanya.