Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar
KUANTAN: Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ke atas Pulau Tioman bermula esok, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif menghantar misi bantuan bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan penduduk pulau peranginan tersohor itu mencukupi.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Rompin, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) serta beberapa agensi lain akan turut digerakkan bagi menyempurnakan misi bantuan berkenaan.
“Susulan PKPD ke atas Pulau Tioman esok, saya telah meminta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain menggerakkan misi bantuan bagi memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan mencukupi di sana.
“Keutamaan dan keprihatinan kita ialah membabitkan aspek kesihatan serta kebajikan penduduk di pulau berkenaan yang meliputi 860 Ketua Isi Rumah (KIR) atau keluarga keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurutnya, bantuan segera itu dapat menjamin kebajikan penduduk sentiasa terpelihara dalam mengharungi tempoh PKPD selama 14 hari bermula esok sehingga 29 Mac 2021.
“Sehubungan itu saya berharap penduduk dapat bersabar dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dengan mematuhi segala SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan.
“Semoga dengan bantuan segera ini, penduduk tidak terkesan teruk dengan langkah PKPD yang dilaksanakan demi membendung penularan wabak pandemik COVID-19 baik secara dalaman mahupun ke luar,” tambahnya.