PKPD dua lokaliti di Kuantan, satu di Temerloh

PKPD dua lokaliti di Kuantan, satu di Temerloh

Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Tiga lokaliti di Pahang, masing-masing dua di Kuantan dan satu di Temerloh dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 22 Ogos-4 September depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di Kuantan membabitkan Taman Balok Makmur dan Kampung Seberang Sungai Ular manakala Flat Damai Taha pula di Temerloh.

Katanya, pelaksanaan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan COVID-19.

“Sementara itu, Kuala Tahan di Jerantut serta Taman Sri Layang, Taman Rimba dan Taman Tualang Indah di Temerloh yang dikenakan PKPD sejak 8 Ogos lalu, akan ditamatkan esok, seperti yang dijadualkan.

“Bagi kawasan FELDA Sungai Panching Selantan, Kuantan yang dikenakan PKPD pada 9 Ogos lalu ditamatkan esok iaitu dua hari lebih awal seperti yang dijadualkan sebelum ini pada 22 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.