PKPD FELDA Tersang 1, 2, 3 di Raub dilanjutkan

PKPD FELDA Tersang 1, 2, 3 di Raub dilanjutkan

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: FELDA Tersang 1, 2 dan 3, Mukim Batu Talam di Raub yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 5 Ogos lalu dan sepatutnya tamat esok, dilanjutkan pelaksanaannya hingga 25 Ogos depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Rodzi Md Saad berkata, lokaliti terbabit akan disambung pelaksanaan PKPD bermula Khamis ini.

“Bagi FELDA Jenderak Utara, Kuala Krau di Temerloh dan Ladang Selbourne, Mukim Gua di Lipis pula dikenakan PKPD selama dua minggu bermula Khamis ini.

“Keputusan ini dilaksanakan selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, FELDA Krau 1, Mukim Gali di Raub yang dikenakan PKPD pada 5 Ogos lalu akan tamat esok, seperti dijadualkan.