PKPD Kampung Temalian di Raub dilanjutkan

PKPD Kampung Temalian di Raub dilanjutkan

Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Kampung Temalian, Mukim Ulu Dong di Raub yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 4 Ogos lalu dan sepatutnya tamat esok, dilanjutkan pelaksanaannya hingga 24 Ogos depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Rodzi Md Saad berkata, lokaliti terbabit akan disambung pelaksanaan PKPD bermula 18 Ogos ini (Rabu).

Sementara itu, beliau berkata, Kampung Luit di Maran dikenakan PKPD selama dua minggu bermula Rabu ini.

“Keputusan ini dilaksanakan selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Bagi Sungai Klau dan Sungai Chalit di Raub yang dikenakan PKPD pada 4 Ogos lalu, beliau berkata, lokaliti terbabit akan menamatkan pelaksanaannya esok, seperti dijadualkan.