Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail
KUANTAN: Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (PKPP) Cherating, di sini, mengumpul 11,351 telur hasil pendaratan 134 penyu spesies agar dalam tempoh 10 bulan tahun ini berbanding 41,420 telur tahun lalu.
Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, daripada jumlah itu sebanyak 4,997 telur ditetaskan di pusat penetasan
khas sebelum dilepaskan ke laut secara berperingkat.
Menurutnya, jumlah pendaratan dan telur penyu di PKPP Cherating dalam tempoh 10 tahun ini jauh lebih rendah berbanding tahun lalu disebabkan beberapa faktor antaranya seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak Covid-19 yang menyebabkan usaha mengesan ibu penyu yang bertelur tidak dapat dilakukan.
Katanya, rekod pendaratan tertinggi dicatat pada Julai membabitkan 47 pendaratan penyu agar yang menghasilkan sebanyak 4,123 telur diikuti Ogos 35 pendaratan dan 2,882 telur; September (25) 1,985 telur dan Oktober (16) 1,447 telur.
“Jumlah pendaratan penyu setiap tahun di PKPP Cherating tidak menentu disebabkan beberapa faktor seperti keadaan laut, ancaman daripada nelayan dan faktor semula jadi.
“Kami berharap aktiviti pelepasan anak penyu yang diadakan setiap tahun di PKPP Cherating dapat menambahkan jumlah pendaratan penyu agar dan karah suatu hari nanti,” katanya pada program pelepasan 400 anak penyu di PKPP Cherating, di sini.
Beliau berkata, tahun lalu sebanyak 42,162 telur hasil pendaratan 475 penyu agar, daripada jumlah itu 28,420 berjaya ditetas dan dilepaskan ke laut.
Abdullah menambah, PKPP Cherating kini ditutup sementara bagi kerja menaik taraf, ia hanya akan dibuka sepenuhnya Januari tahun depan.
Katanya, banyak program pelepasan anak penyu tidak dapat diadakan berikutan PKP, aktiviti berkenaan hanya dilakukan secara dalaman sahaja membabitkan kakitangan jabatan.
“Saya jangka kehadiran pelancong akan bertambah tahun depan apabila pelbagai kemudahan dinaik taraf dalam usaha meletakkan PKPP Cherating sebagai produk pelancongan terbaik di negeri ini,” katanya.