LIPIS: Sejumlah RM765,000 diperuntukkan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) melalui Program Kebajikan PKPP Prihatin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai, hari ini.
Sumbangan peruntukan itu itu disampaikan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Pengerusi PKPP kepada 1,069 penerima yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), Orang Asli, anak yatim, ibu tunggal, pesakit kronik dan miskin.
“Sejak saya menjadi Pengerusi PKPP, kira-kira tiga tahun lalu, banyak perubahan PKPP sudah lakukan dan mengorak langkah meneroka peluang bagi menyahut cabaran semasa bagi meningkatkan pulangan ekonomi kepada negeri Pahang.
“PKPP juga tidak terlepas untuk melakukan program kebajikan dan khidmat masyarakat di luar sana bagi meningkatkan taraf sosial setempat selain membuka peluang ekonomi kepada penduduk.
“Hari ini, saya telah menyampaikan sumbangan dalam Program Kebajikan PKPP Prihatin bagi Dun Jelai kepada 1,069 penerima yang berjumlah RM765,000,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada program itu juga, tiga puluh unit kerusi roda dan sepuluh katil diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Lipis di samping dua van jenazah kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Gahai serta JPKK Beletik.
Selain itu, PKPP menerusi peruntukan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sedang melaksanakan projek bagi menggantikan paip lama di Kuala Medang, membina empat kedai PKPP di Sungai Ular, membina pagar Masjid Jamek Kuala Medang dan membuat jalan pertanian dan ladang.
“InsyaAllah, program kebajikan PKPP ini akan teruskan lagi di tempat lain pada masa akan datang,” kata Wan Rosdy yang juga Adun Jelai. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN