KUANTAN: Kestabilan politik dan perkembangan ekonomi yang baik hasil pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini menyaksikan kemeriahan sektor perniagaan diusahakan usahawan kecil dan sederhana (PKS) dimiliki masyarakat Melayu di Pahang.
Atas faktor itu, rata-rata peniaga ditemui Fikrah Pahang menaruh harapan supaya Barisan Nasional (BN) sekali lagi dipilih mentadbir negeri ini.
Pengendali kafe Periuk Ali Russia, Nursyahadah Ali Zaik, 26, berkata kemampuan ditunjukkan BN terbukti dengan munculnya banyak perniagaan didominasi masyarakat Melayu di tengah bandar raya Kuantan.
“Kalau dilihat di kawasan Jalan Besar ini sahaja, penuh dengan perniagaan didominasi orang Melayu terutama dalam bidang F&B (makanan dan minuman).
“Kerajaan BN Pahang juga memberi galakan untuk peniaga kecil berkembang dan tidak lokek memberi sokongan contohnya beberapa karnival perniagaan yang dianjurkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang di sini, semalam.
Bagi peniaga basikal, Hasminizam Mohd Said, 45, kejayaan kerajaan negeri mentadbir Pahang dengan cemerlang secara tidak langsung memberi pulangan kepada peniaga kecil.
“Memanglah disebabkan COVID-19 rakyat agak susah, tetapi dengan bermacam-macam bantuan disalurkan kerajaan negeri, kepayahan itu tidak terlalu dirasakan dan rakyat masih ada duit untuk berbelanja,” katanya.
Shamsul Izhar Mohd Salleh, 43, yang mempunyai perniagaan percetakan berkata, BN dan UMNO adalah pilihan terbaik buat peniaga kecil berikutan kesungguhan parti berkenaan memastikan perniagaan usahawan kecil terus bernafas.
“Memang BN dah terbukti mampu tolong peniaga kecil. Saya sendiri antara penerima i-PUSH (Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Pahang) 2022 yang membantu usahawan PKS yang terjejas teruk akibat COVID-19,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN