Plat UC catat jualan RM3 juta, kini dibuka untuk umum

Plat UC catat jualan RM3 juta, kini dibuka untuk umum

Kuantan: Universiti Malaysia Pahang (UMP) mengumpul kira-kira RM3 juta hasil penjualan siri nombor pendaftaran khas UC sejak bidaan dibuka pada 1 Februari lalu.

Sehingga ini, hampir seribu nombor dibida dan terjual termasuk tempahan yang berjaya ditender oleh kakitangan, penuntut, individu dan juga syarikat.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman yang juga Pengerusi Yayasan UMP berkata, orang awam yang berminat mendapatkan plat nombor kenderaan khas UC itu boleh berbuat demikian, hari ini.

Katanya, penjualan nombor pendaftaran khas itu susulan hasrat dan inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang mahu semua universiti awam menjana pendapatan sendiri.

“Ia adalah sebahagian usaha Yayasan UMP meningkatkan sumber pendapatan untuk disalurkan dalam pelbagai program kebajikan bagi manfaat penuntut dan golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan  Mesyuarat Penyelarasan Perancangan Program Belia dan Pelajar Pahang di sini, semalam. Hadir sama, Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang masih berminat untuk membeli nombor plat UC, boleh terus ke laman sesawang www.ucplat.com.my yang dikendalikan oleh Sekretariat jualan Aquatwo Sdn Bhd.

“Plat khas UC ini hanya boleh didaftarkan di JPJ Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan juga Kuantan, Pahang bermula 1 Mac ini sehingga November 2024,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN