KUANTAN: YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob mengajak seluruh Keluarga Malaysia bersama menggembleng tenaga dan menyumbang masa membudayakan amalan kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang.
Beliau berkata, amalan seperti menghindari penggunaan plastik sekali guna dan penjimatan sumber tenaga perlu dijadikan kebiasaan dalam kehidupan.
“Saya juga ingin mengajak sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk sama-sama memainkan peranan dalam usaha melestarikan alam sekitar.
“Sejajar Fokus Kelapan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu Mempercepatkan Pertumbuhan Hijau, pembangunan ekonomi tidak harus menjejaskan alam sekitar,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Ismail Sabri berkata, usaha untuk mempercepatkan pertumbuhan hijau, mempertingkatkan kemampanan tenaga dan mentransformasikan sektor air, harus kekal menjadi teras pembangunan sosioekonomi negara. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN