KUALA LUMPUR: YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berterima kasih kepada Keluarga Malaysia di Melaka kerana memilih Barisan Nasional sebagai kerajaan baharu.
Ismail Sabri berkata, kebajikan dan kemajuan ekonomi rakyat Melaka pastinya akan menjadi agenda utama pentadbiran kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dato’ Sri Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohamad Hasan, presiden parti komponen BN dan seluruh jentera parti yang menggembleng tenaga membantu memenangkan BN di Melaka.
“Penghargaan juga buat mantan Pengerusi BN, Dato’ Sri Mohd Najib Razak yang turut turun padang membantu kemenangan di Melaka.
“Inilah semangat Keluarga Malaysia yang mana kita semua menuju ke destinasi yang sama iaitu membangunkan kembali Malaysia selepas mengharungi pandemik yang mencabar ini. Terima kasih Keluarga Melaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN