Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com.my
KUANTAN: Langkawi akan dijadikan panduan dan contoh kepada Polis Pahang dalam menghadapi kehadiran pelancong susulan gelembung pelancongan di Pulau Tioman dan Genting Highlands, 1 Oktober depan.
Ketua Polis Pahang, Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan keperluan kehadiran polis yang lebih intensif di dua destinasi pelancongan terbabit.
“Kita sedang melihat dan mengambil contoh amalan yang baik di Langkawi dan mungkin ada pengajaran yang kita akan sesuaikan dengan keadaan di kedua-dua destinasi itu.
“Jika memerlukan penambahan anggota yang lebih, itu yang kita akan lakukan,” katanya kepada media selepas mengadakan Program Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Tiga dan Pencegahan Jenayah, di sini, hari ini.
Sebelum ini kerjaan mengumumkan Tioman dan Genting akan dibuka untuk gelembung pelancongan berikutan kejayaan projek rintis di Langkawi.