Oleh Muhammad Najmie
fikrahpahang@gmail.com
JERANTUT: Dua pasang suami isteri antara 45 individu diberkas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut kerana disyaki mengedar dan menagih dadah dalam Ops Sarang Khas di daerah ini, berakhir semalam.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Mazlan Hassan berkata, suspek berusia antara 19 hingga 52 tahun itu diberkas menerusi serbuan di beberapa port dadah di ladang sawit dan kampung tradisional.
Beliau berkata, operasi besar-besaran serentak dengan lima daerah lain di Pahang antara jihad memerangi pengedaran dan penagihan dadah.
“Selain itu, polis juga akan bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan pelajar di tidak terjebak dengan penagihan dadah,” katanya pada sidang media di IPD Jerantut, di sini, hari ini.
Menurut Mazlan, empat daripada suspek akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) sekiranya disabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung mandatori.
“Dua daripadanya pula akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) ADB (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 manakala dua suspek lagi disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 kerana disyaki mengedar dadah jenis syabu,” katanya.
Menurutnya, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati kira-kira 20 suspek pernah melakukan kesalahan sebelum ini dan dikategorikan sebagai penagih berulang.
Mazlan berkata, polis turut merampas syabu 38.12 gram, heroin (57.66 gram), pil yaba (5.14 gram), cecair kodein dan air ketum dengan anggaran keseluruhan bernilai RM9,000.