Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: Polis berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di kalangan warga Kuantan ketika mengunjungi pusat tumpuan pelancong di sekitar daerah ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin, berkata pemantauan berterusan akan dilakukan pihaknya terutama di lokasi tumpuan umum.
“Sehingga ini, tiada sebarang kompaun dikeluarkan berhubung pelanggaran SOP,” katanya kepada media selepas selesai melakukan pemantauan penguatkuasaan SOP di kawasan pelancongan di Pasir Puteri, Sungai Lembing, di sini, hari ini.
Muhammed Rizal menjelaskan, pihaknya akan menggunakan pendekatan budi bicara dan mendidik masyarakat yang masih belum memahami SOP yang perlu dipatuhi ketika dalam Fasa 2 PPN.
“Kita ada rekod kesalahan individu tertentu yang melanggar SOP dan tindakan tegas akan diambil jika dikesan melakukan kesalahan berulang,” katanya.