Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Polis menafikan berlaku demonstrasi di sekatan Jalan Jabor, dekat sini hari ini, seperti video yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, berdasarkan pemeriksaan di lokasi terbabit, tiada sebarang isu ketenteraman awam, demonstrasi atau tindakan mogok berlaku.
Sebaliknya, katanya, kebanyakan individu yang berada di lokasi itu ialah pekerja yang ingin mengambil gambar untuk memaklumkan kepada majikan mereka di Kuantan.
“Selain itu, ada juga pengguna jalan raya yang belum mengetahui berkaitan penutupan laluan dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah Kuantan.
“Sebilangan individu lain yang hadir lebih kepada bertanya dan mengambil gambar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohamad Noor berkata, berikutan pengumuman PKPD di daerah Kuantan bermula hari ini hingga 7 Jun depan, keseluruhan laluan masuk ke daerah ini dilakukan sekatan jalan raya (SJR) termasuk beberapa laluan alternatif ditutup sepenuhnya.
Katanya, ia membabitkan Jalan Jabor-Jerangau, Jalan Jabor Lama-Alor Batu, Jalan Felda Neram-Bukit Kuantan dan Jambatan Tanjung Selangor-Cherok Paloh.
“Tindakan hebahan dan pemakluman dibuat melalui media dan Facebook Polis Kuantan, semalam.
“Pemakluman juga dibuat kepada Bilik Gerakan Polis Kemaman, Pusat Kawalan Polis Kontinjen Terengganu dan Pusat Kawalan Polis Kontinjen Kelantan,” katanya.