BENTONG: Polis Pahang menumpaskan sindiket pengedaran dadah dipercayai terbabit dengan aktiviti penyeludupan dan pengedaran pasaran antarabangsa.
Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sindiket terbabit ditangkap dalam dua serbuan, masing-masing pada kira-kira 9 malam dan 11 malam, di sekitar Bentong, pada 20 Ogos lalu.
Menurutnya, hasil serbuan itu, polis menahan tiga lelaki warga emas, masing-masing berusia 61, 62 dan 63 tahun dalam kawasan Kampung Bukit Tinggi, Bentong.
Katanya, hasil tangkapan suspek membawa kepada penemuan rumah di Taman Anggerik, Bentong, yang dijadikan stor sekali gus membawa kepada rampasan 841.06 kilogram dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM30.8 juta.
“Jumlah keseluruhan dadah dirampas itu boleh digunakan oleh sekurang-kurangnya 4,250,000 orang,” katanya dalam sidang media yang diadakan di rumah kelab Ibu Pejabat Polis Daerah (IPF) Bentong, di sini, hari ini.
Beliau berkata, polis turut menemui pistol jenis Glock di dalam kereta suspek dan selaras senjata api tiruan bersama empat kelopak peluru,.
“Daripada siasatan, kami mendapati senjata yang dirampas kemungkinan digunakan sebagai jaminan buat suspek dalam melakukan aktiviti penyuludupan dan pengedaran dadah,” katanya.
Katanya, turut dirampas adalan Nissan Sunny, RM1,564 tunai dan wang dalam akaun bank RM6,623.65.
Ramli berkata, siasatan ke atas ketiga-tiga suspek mendapati ketiga-tiga suspek yang adalah warga tempatan, negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Suspek pertama berusia 61 tahun dan suspek ketiga berusia 63 tahun bekerja sebagai pekebun durian manakala suspek kedua berusia 62 tahun tidak bekerja.
“Ketiga-tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan mereka direman tujuh hari bermula 21-27 Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata, sindiket itu melakukan penyeludupan dan pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan kurier ke pasaran antarabangsa dan tempatan.
“Aktiviti dipercayai bermula sejak awal tahun ini. Ketiga-tiga suspek adalah kenalan lama, dipercayai mengambil dadah dari luar dan menjadikan rumah di Bentong sebagai tempat simpanan dan membungkus dadah.
“Kami percaya suspek bukan dalang dan polis akan meneruskan siasatan bagi mengesan baki ahli sindiket terbabit,” katanya.