Polis panggil semua saksi kes penalti cukai Najib

Polis panggil semua saksi kes penalti cukai Najib

Oleh Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan Dato’ Sri Najib Razak terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) baru-baru ini.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Dato’ Mohd Kamarudin Md Din menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya akan memanggil semua individu terbabit untuk diambil keterangan dalam masa terdekat.

“Proses ini akan dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan. PDRM akan memastikan siasatan dijalankan secara adil dan saksama selaras dengan peruntukan undang-undang ditetapkan.

“Oleh itu, orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.

Terdahulu, laporan polis dibuat bekas Perdana Menteri itu selepas menerima maklumat pegawai LHDN menerima tekanan daripada ahli politik tertentu yang mahu dirinya dikenakan tindakan undang-undang termasuk penalti cukai.

Sementara itu, Najib dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, mengucapkan terima kasih kepada pemberi maklumat yang ingin mempertahankan keadilan.

“Mereka memberitahu saya bahawa kes cukai saya sebenarnya telah disiasat tiga kali oleh LHDN dan setiap kali, keputusannya sebenarnya bahawa tiada penalti cukai patut dikenakan atas dana-dana berkenaan.

“Tetapi ahli-ahli politik telah campur tangan untuk arahkan saya dikenakan penalti cukai tidak munasabah sebanyak RM1.7 bilion dengan menyalah gunakan kuasa ‘bayar dulu, bincang kemudian’ undang-undang cukai,” katanya.

Beliau juga berharap pihak polis akan menyiasat secara adil dan menyeluruh supaya pesalah dapat dikenal pasti dan menerima hukuman setimpal.

“Saya difahamkan siasatan sudah bermula dan beberapa saksi telah dipanggil. Saya berharap pihak polis akan menyiasat secara adil dan menyeluruh agar dalang tertentu dapat dikenal pasti dan dihukum,” katanya.