Polis pesan berkempen jangan sampai keterlaluan

Polis pesan berkempen jangan sampai keterlaluan

KUANTAN: Lima puluh lima calon Parlimen dan 150 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang dinasihati mematuhi arahan, peraturan dan larangan sepanjang berkempen.

Ketua Polis Pahang, Dato’ Sri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata penyokong parti yang bertanding juga diingatkan sentiasa mengikut arahan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

Katanya, setiap calon hendaklah memastikan permit ceramah dan kempen dipohon sebelum berkempen dan permohonan boleh dibuat bermula 5 November.

“Tidak patuh arahan akan mengakibatkan tindakan undang-undang diambil terhadap calon parti yang bertanding.

“Polis juga menyarankan supaya setiap calon berkempen secara harmoni, tidak menyentuh sensitiviti perkauman, agama, Institusi Diraja, membakar bendera dan mengoyak poster parti lawan.

“Polis tidak teragak-agak ambil tindakan terhadap mana-mana individu yang menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya pada siaran media, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN