Polis pintas rokok seludup RM3.3 juta di Karak

Polis pintas rokok seludup RM3.3 juta di Karak

BENTONG: Cubaan pemandu lori yang pertama kali mengambil upah mengangkut rokok tanpa cukai gagal apabila dia ditahan polis, di Kilometer 55.2, Lebuhraya Karak, pada 4.20 pagi, 20 November lalu.

Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemandu lori, 43, ditahan bersama 333 kotak rokok pelbagai jenama bernilai RM3.3 juta. 

Katanya, pasukan Gerakan Khas, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman turut menahan lelaki 30 tahun selepas datang ke lori itu dan memperkenalkan diri sebagai rakan pemandu itu. 

.

“Hasil soal siasat mendapati pemandu lori mengambil upah membawa rokok ke Kuala Lumpur dari Kemaman, Terengganu, dengan upah RM1,500. 

“Suspek juga memberitahu kenderaan itu akan ditinggalkan di deretan kedai dan kunci lori akan diletakkan di ruang tayar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong, hari ini. 

Beliau berkata, siasatan awal pihak polis juga mendapati kedua-dua suspek kali pertama membawa rokok seludup. 

Katanya, kedua-dua suspek itu ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967. – MUHAMMAD NAJMIE